rap

Baby Shima mohon maaf, Zhariff mohon henti kecam penyanyi itu

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Baby Shima, 29, sudah menghubungi dan memohon maaf dengan tokoh Orang Kelainan Upaya (OKU), Zhariff Afandi atas perkongsian video tidak disengajakan.

Shima ketika dihubungi berkata, dia berharap isu video yang didakwa mempermain-mainkan keadaan fizikal Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan itu di aplikasi TikTok tidak dipanjangkan dan dijadikan satu isu besar.

"Alhamdulillah, semalam saya sudah menghubungi Zhariff meminta maaf atas kesilapan saya yang dilakukan tanpa sengaja. Dia pun sudah memaafkan saya dan memahami situasi sebenar. Saya harap isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi kerana semuanya sudah selesai," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, dalam video yang mencetuskan kontroversi itu Shima melakonkan semula aksi Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan dan menggunakan anggota kaki untuk melakukan tugas harian.

Tindakannya itu ternyata mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan dia tidak sensitif. Bagaimanapun, video berkenaan dipadam Shima yang kemudian tampil memohon maaf atas kesilapannya yang dilakukan secara tidak sengaja itu.

Shima menjelaskan, dia tiada berniat untuk mempersenda golongan OKU seperti Zhariff dengan melakukan parodi berkenaan.

Menurut Shima, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dalam memuat naik setiap hantaran di media sosial supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

"Sumpah demi Allah, saya tak ada niat nak hina Zhariff. Saya buat video itu selepas melihat video dia di TikTok dan saya tak perasan langsung keadaan dia macam itu.

"Selepas 30 minit saya muat naik video, saya terbaca komen mengenai kekurangan yang dialaminya.

Selepas saya tahu, saya terus padam video itu. Tapi selepas empat hari, ada orang kongsi video tersebut. Saya betul-betul minta maaf.

"Insya-Allah saya akan jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran dan akan lebih berhati-hati," katanya.

Sementara itu, Zhariff menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan Shima sudah menghubunginya dan memohon maaf atas kesilapan itu.

Zhariff berkata, dia meminta netizen supaya berhenti meninggalkan komen negatif atau kecaman kepada penyanyi terbabit.

"Baby Shima sudah menghubungi saya secara peribadi untuk memohon maaf atas perkongsiannya sebelum ini. Dia juga sudah menjelaskan bahawa dia tidak menyedari yang saya tidak mempunyai tangan.

"Bagaimanapun, tidak perlu teruskan lagi kecam ke atas gadis ini. Dia terima terlalu banyak kecaman di laman sosial, di mana ia bukan sesuatu yang baik," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2021 @ 3:47pm
d