mutakhir

Ibu tinggal bayi di belakang rumah ditahan

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui masih bernyawa di belakang sebuah rumah di Kampung Geliga, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang menemui bayi terbabit kira-kira 5.30 pagi.

Menurutnya, bayi terbabit yang masih terdapat kesan darah itu kemudian dibawa ke Hospital Kemaman.

"Siasatan polis mendapati kawasan rumah terbabit berdekatan dengan laluan orang ramai, tidak berpagar serta tiada kamera litar tertutup (CCTV).

"Berdasarkan maklumat, polis yang menjalankan siasatan menahan ibu bayi terbabit berusia 18 tahun, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian kira-kira 8 pagi ini sebelum dibawa ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

"Dalam soal siasat, suspek mengaku melahirkan bayi tanpa pengetahuan keluarga dan meletakkan bayinya di kawasan itu," katanya.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman bagi membantu siasatan, esok.

Disiarkan pada: April 1, 2021 @ 1:41pm
d