mutakhir

Interpol bantu PDRM kesan Nicky Liow

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu mengesan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Nicky Liow akan cuba menyusup keluar dari negara ini untuk melarikan diri.

"Dipercayai suspek yang berusia 33 tahun itu masih bersembunyi di kawasan Lembah Klang.

"Polis masih belum dapat mengesan lokasi suspek tetapi nama Datuk Seri Nicky di dalam senarai untuk semua di pintu-pintu masuk yang sah dan yang tidak sah serta laluan tikus untuk memastikan dia tidak mengambil kesempatan untuk menyusup keluar," katanya ketika sidang media Program Town Hall Discussion PDRM Johor di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, suspek mempunyai rangkaian kerja yang luas dan bantuan termasuk daripada pegawai, anggota penguatkuasa dan individu berpengaruh bagi mengambil kesempatan untuk berlindung atau menyusup keluar.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis melumpuhkan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky yang disyaki terbabit dalam jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam dan pengubahan wang haram.

Seramai 68 orang ditahan dan wang tunai berjumlah ratusan ribu ringgit serta aset bernilai jutaan ringgit dirampas dalam 70 serbuan di Selangor dan Lembah Klang, baru-baru ini.

Disiarkan pada: April 1, 2021 @ 3:19pm
d