rap

Shuk tak kisah hilang kerja, asalkan keluarga ada di sisi

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Kalau dulu ada duit lebih tapi hubungan keluarga renggang, tapi sekarang saya dapat semula keluarga saya walaupun tawaran kerja banyak hilang," kata pelawak Shuk Sahar mengenai keadaan terkini rumah tangga dengan isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah atau Sera selepas terpalit kontroversi awal tahun ini.

Shuk berkata, walaupun kehilangan banyak tawaran kerja termasuk penamatan kontrak sebagai penyampai radio Hot FM, Februari lalu, namun dia bersyukur keluarga masih berada di sisinya.

"Saya bersyukur hubungan saya dengan isteri dan ahli keluarga semakin rapat. Saya juga bersyukur dapat semula keluarga selepas macam-macam dugaan yang datang.

"Saya anggap kehilangan beberapa tawaran kerja adalah harga yang perlu saya bayar. Saya tak kisah asalkan keluarga bersama saya sekarang ini. Apa yang boleh saya katakan, Sera seorang wanita yang kuat dan saya tak pernah salahkan dia atau sesiapa dengan apa yang berlaku. Malah saya letak semua kesalahan atas diri saya," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan pertama air minuman, Semooth di Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Menurut Shuk, dia menganggap insiden hitam yang menimpanya sebelum ini adalah satu pengajaran cukup berharga dan tidak akan mengulanginya lagi.

"Dalam keadaan apa sekalipun, keluarga perlu diselamatkan. Saya tak boleh biarkan keluarga yang saya bina musnah atau bergolak.

"Memang ada kawan-kawan yang datang beri sokongan tapi berapa lama mereka mampu bersama kita. Mujur saya ada ibu bapa yang sentiasa berada di samping saya. Apa yang terjadi adalah satu hikmah dan Tuhan beri ujian kepada individu yang mampu mengharunginya mengikut kemampuan.

"Saya selalu berdoa agar dijauhkan daripada segala dugaan yang besar seperti ini lagi. Saya ingin hidup bahagia bersama keluarga. Lagipun kesudian Sera menerima saya semula serta memaafkan segala apa yang saya lakukan adalah bukti cintanya terhadap saya cukup kuat. Saya tak tahu bagaimana jika orang lain hadapi situasi sama," katanya.

Dalam masa sama, Shuk mengakui sedih apabila Sera terpaksa berdepan dengan pelbagai kecaman selepas mereka kembali berbaik.

"Kasihan juga dengan Sera sebab dia bukan selebriti dan tak pernah berhadapan dengan netizen. Namun, saya selalu nasihatkan dia supaya jangan melayan setiap komen negatif sebaliknya fokus terhadap keluarga ini," katanya.

Januari lalu, tular di media sosial mengenai pergolakan semula rumah tangga Shuk apabila Sera membuat pendedahan di Instagram.

Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik di media sosial itu, Sera mendedahkan Shuk masih lagi curang bersama wanita yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

Bagaimanapun, pada 8 Februari lalu Shuk sudah berbaik semula dan berjaya memujuk isterinya selepas membuat kejutan membawa rombongan meminang ke kediamannya.

Shuk juga mengakui kesalahan dilakukan dan dia menyesal. Malah, janjinya selepas apa yang berlaku dia mahu melakukan yang terbaik buat isteri, anak-anak dan keluarga.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, 1.

Dalam pada itu, cawangan pertama Semooth adalah kebangkitan Shuk selepas dikecam sebelum ini hingga mengakibatkan kehilangan beberapa tawaran kerja.

"Memandangkan saya sudah tidak lagi berkhidmat di Hot FM, jadi saya perlu ambil langkah dengan cepat untuk menyara keluarga. Jadi, saya bersama seorang lagi rakan kongsi cuba fikirkan idea terbaik untuk memulakan perniagaan. Akhirnya kami bersepakat untuk membuka kafe minuman. Insya-Allah kami dalam perancangan untuk membuka beberapa cawangan lagi selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 4:52pm
d