mutakhir

Rondaan berkuda di taman perumahan, premis perniagaan [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Bangi: Kehadiran sekumpulan pegawai polis yang melakukan rondaan dengan menunggang kuda di sekitar Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota, di sini, hari ini, 'mengejutkan' orang ramai di kawasan berkenaan.

Malah, orang ramai yang teruja melihat kehadiran kumpulan berkenaan turut mengambil kesempatan dengan mengambil gambar bersama mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, beliau bersama tiga lagi pegawai dari Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Pangkalan Cheras melakukan rondaan di kawasan berkenaan bermula 8.30 hingga 10.30 pagi.

"Rondaan dilakukan membabitkan taman perumahan serta premis perniagaan di kawasan terbabit dengan jarak perjalanan sejauh sembilan kilometer.

"Ketika rondaan dilakukan, orang ramai dilihat terkejut dan teruja dengan kehadiran kami. Mereka sambut kami dengan mesra selain mengambil gambar bersama," katanya ketika ditemui di Balai Polis Bangi, di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pihaknya melakukan rondaan menggunakan kuda di taman perumahan, kawasan kilang serta premis perniagaan di daerah ini sekurang-kurangnya sekali sebulan.

"Tujuan rondaan menggunakan kuda dilakukan adalah bagi memastikan kehadiran pegawai dan anggota polis di lapangan dengan menggunakan pelbagai kaedah serta aset sedia ada untuk pencegahan jenayah.

"Bagi tugasan rondaan ini, empat pegawai akan ditugaskan bagi melakukan rondaan di kawasan tumpuan orang ramai di sekitar daerah ini," katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 1:05pm
d