mutakhir

Kadar zakat fitrah di Kelantan RM7

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menetapkan kadar zakat fitrah di negeri itu RM7 tahun ini.

Yang Dipertua Maik Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, mana-mana individu yang ingin membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

"Maik mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mengenai kadar bayaran zakat fitrah dan kadar nisab zakat harta negeri tahun ini.

"Kadar nisab zakat harta tahun ini ialah sebanyak RM20,520 untuk haul antara Ramadan tahun 1442 Hijrah (H) hingga Ramadan 1443H," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan Kaunter Baitulmal di masjid bandar, jajahan atau menerusi Maik e-Zakat Payment di www.e-maik.my.

"Selain itu, bayaran juga boleh dibuat menerusi institusi perbankan yang dilantik oleh Maik sebagai ejen kutipan zakat termasuk Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB, RHB, AmBank, Maybank dan Bank Rakyat.

"Pihak Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan ini. Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan.

"Saya bagi pihak Maik mengucapkan selamat menunaikan ibadah Ramadan buat semua umat Islam," katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 4:32pm
d