mutakhir

Pembalakan di Lenggeng, apa dah jadi...

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Hentikan segera projek pengeluaran kayu balak seluas kira-kira 500 hektar di kawasan Lenggeng di sini, berikutan ia memberi kesan buruk kepada eko-sistem tadahan air dan jalan di kawasan berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussain, mendakwa, projek berkenaan juga berada berhampiran dengan Hutan Lipur Lenggeng yang juga lokasi latihan pasukan tentera.

"Kawasan yang terbabit (pembalakan) di Lenggeng ini dekat dengan lokasi Hutan Simpan Kekal. Sejak saya lahir di Lenggeng, tak pernah lagi ada pengeluaran balak.

"Saya pun menerima aduan daripada penduduk terutama masyarakat Orang Asli yang memberitahu kerja-kerja mengambil kayu balak itu mengganggu eko sistem tadahan air dan jalan," katanya tadi.

Beliau berkata, status aktiviti pengeluaran kayu balak itu juga masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, adalah sesuatu yang meragukan apabila projek yang masih dalam siasatan pihak berkuasa masih diteruskan seperti biasa.

"Isu balak ini sudah dilaporkan kepada SPRM pada 18 September lalu oleh seorang individu dari Seremban. Saya difahamkan oleh SPRM Putrajaya bahawa status kes itu masih dalam siasatan.

"Sebagai penduduk Lenggeng, saya mendesak kerajaan negeri menghentikan pengeluaran kayu balak di kawasan berkenaan sehingga siasatan kes selesai," katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 6:56pm
d