mutakhir

YaPEIM agih sumbangan berbuka puasa sepanjang Ramadan [METROTV]

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Petaling Jaya: Bagi membantu meringankan beban golongan terkesan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tampil mengagihkan sumbangan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Inisiatif di bawah program Inspirasi Qaseh Ramadhan itu berlangsung serentak di 11 Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) di seluruh negara sehingga hari ke-20 Ramadan.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, sebanyak 600 pek juadah berbuka diagihkan kepada masyarakat setempat setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad bermula 4 petang.

"Antara menu juadah berbuka puasa yang disumbangkan termasuk bubur lambuk, kuih-muih, nasi berlauk dan kurma yang membabitkan jumlah perbelanjaan RM647,000.

"Program yang sudah bermula sejak 1 Ramadan lalu bakal memanfaatkan 78,000 penerima seluruh negara," katanya ketika ditemui di Program Qaseh Ramadan di Ibu Pejabat YaPEIM, Dataran Mentari, di sini.

Menurutnya, hidangan yang disumbangkan menerusi program itu disediakan oleh usahawan YaPEIM.

"Inisiatif ini bukan saja memberi manfaat kepada masyarakat setempat, tetapi juga membantu usahawan menjana pendapatan.

"Di bulan yang mulia ini agak istimewa yang mana kita berbelanja lebih besar supaya dapat menyantuni lebih ramai lagi," katanya.

Parihah berkata, YaPEIM juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai supaya dapat sama-sama menghidupkan budaya bersedekah di bulan penuh mulia ini.

"Mana-mana individu mahupun organisasi yang ingin menyampaikan sumbangan sekali gus menambah saham akhirat dalam usaha meringankan beban golongan memerlukan boleh terus ke jaringan https://qaseh.digitalyapeim.com/," katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 5:35pm
d