mutakhir

3 sekolah di Kedah masih ditutup

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Sebanyak tiga sekolah di negeri ini masih ditutup berikutan penularan kes Covid-19 yang masih aktif di sekolah terbabit.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Mergong membabitkan Kluster Dinamik dan Maktab Mahmud Baling membabitkan Kluster Jalan Weng.

Katanya, sebuah lagi sekolah adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling membabitkan Kluster Anggerik Cempaka.

"Semua sekolah terbabit ditutup selama tujuh hari lagi selepas beberapa hari ditutup sebelum ini. Kita rawat mereka di dua tempat, pelajar positif yang berada pada kategori dua dan tiga akan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di hospital dan yang lain dirawat di asrama.

"Kita tengok pada situasi kerana terdapat juga pelajar yang tidak tinggal di asrama, kita akan pantau aktiviti harian pelajar-pelajar terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Malaria Sedunia peringkat negeri Kedah di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, di sini, hari ini.

Perasmian dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Dr Mohd Fikri berkata, pihaknya kini giat mengesan kontak rapat di kalangan pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Katanya, JKN turut memasang banting peringatan di kawasan zon merah serta meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 35 pelajar Maktab Mahmud Baling dikesan positif Covid-19 menyebabkan pusat pendidikan itu terpaksa ditutup sejak Ahad minggu lalu.

Pada Rabu lalu pula, seramai 15 pelajar SMKA Kedah dikesan positif manakala menerusi laporan harian JKN Kedah hari ini, sebanyak 16 individu lagi dikesan positif Covid-19 membabitkan Kluster Dinamik.

Selain itu Khamis lalu, lima pelajar SMK Baling turut disahkan positif Covid-19 dan sekolah itu turut ditutup pada hari yang sama hingga 28 April ini bagi tujuan pembersihan.

Disiarkan pada: April 25, 2021 @ 6:40pm
d