bisnes

Kerjasama Lotus's Malaysia, PKS untuk bantuan Ramadan dan Aidilfitri

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) menjalin kerjasama dengan rakan sekerjanya dan pembekal perusahaan kecil dan sederhana (PKS), All Kurma Sdn Bhd bagi memberi bantuan sempena sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Komunikasi Korporat dan CSR Lotus's, Hanim Hamdan berkata, pihaknya melancarkan dua inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan iaitu Kiriman Ikhlas Raya (KIR) dan Tabung Kiriman Ikhlas (TKI) yang menggariskan komitmennya untuk memberi manfaat kepada komuniti di mana ia beroperasi.

"Untuk inisiatif KIR, kami bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor serta Lembaga Zakat Selangor dan Kedah, untuk pengagihan Zakat Wakalah yang disumbangkan oleh rakan-rakan sekerja Lotus's.

"Inisiatif ini berbentuk sumbangan barangan keperluan rumah bernilai RM300 yang diagihkan daripada cawangan kami kepada 100 keluarga asnaf terpilih untuk membolehkan mereka menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih sempurna.

"Ini bukanlah kali pertama rakan sekerja kami menyumbangkan Zakat Wakalah kerana kami telah mempraktikkan inisiatif ini sejak 2019 lagi, tetapi ini adalah kali pertama kami bekerjasama dengan badan agama di lima negeri pada masa yang sama," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, inisiatif TKI memberi peluang kepada pelanggan Lotus's untuk bersama-sama membantu keluarga asnaf ketika mereka berbelanja di mana-mana cawangan Lotus's.

Dengan setiap pembelian semua produk All Kurma bernilai sekurang-kurangnya RM18, RM1 akan disalurkan ke dalam TKI.

Rangkaian produk All Kurma merangkumi Siafa, Mahadhi, al-Hisham, Masafii, Date Crown dan Springdeal.

"Sasaran kami adalah untuk mengumpulkan dana sebanyak RM30,000, yang kemudiannya akan ditukar menjadi baucar Lotus's dan diedarkan kepada 100 keluarga asnaf yang dipilih.

"Kempen TKI ini akan berlangsung sehingga 2 Jun 2021 dan kami berharap akan dapat mencapai sasaran kami dengan sokongan pelanggan kami," katanya.

Ini adalah tahun kedua berturut-turut Lotus's mengadakan inisiatif TKI.

Tahun lalu, Lotus's bekerjasama dengan Mondelez International dan badan bukan kerajaan Food Aid Foundation (FAF) untuk membantu mereka yang memerlukan.

Dana yang dikumpulkan ditukar menjadi barang makanan termasuk beras, minyak masak, tuna, keropok krim, serpihan bijirin, susu, madu dan campuran minuman segera yang kemudian diedarkan kepada penerima bantuan FAF di seluruh Semenanjung Malaysia.

Melalui inisiatif gabungan KIR dan TKI, penerima asnaf akan dapat menikmati baucar tunai bernilai RM300 dan keperluan isi rumah bernilai RM300.

Pengedaran baucar dan barangan keperluan isi rumah yang pertama sudah pun diadakan di Lotus's Kota Bharu, Kelantan pada 20 April 2021, manakala pengedaran selanjutnya pula dijadualkan sepanjang Ramadan.

Lotus's, sebagai Tesco Malaysia, sudah bekerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam mengagihkan barang keperluan rumah kepada 12 keluarga asnaf yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak pada 2019.

Pada 2020, pengagihan Zakat Wakalah diperuntukkan kepada 60 rakan sekerja yang mendapati mereka telah menjadi satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga kerana ahli keluarga mereka yang lain sudah kehilangan pekerjaan kerana wabak Covid-19.

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 11:10am
d