utama

'Pengajaran dan peringatan untuk kami' - Neelofa

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara popular, Neelofa menerima dengan hati terbuka berhubung kompaun sebanyak RM60,000 terhadap dirinya, suami, PU Riz dan 20 anggota keluarga yang lain kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Neelofa berkata, kompaun yang dikenakan itu adalah pengajaran kepadanya termasuk peringatan untuk memandang berat terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan.

"Kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang dipersetujui pihak berkuasa.

"Ia juga menjadi peringatan buat saya dan semua yang terbabit pada majlis perkahwinan saya untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP," katanya.

Neelofa juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes membabitkan dirinya, suami dan keluarga.

"Saya juga ingin meminta maaf sekali lagi jika perkara ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian anda," katanya.

Sebelum ini, Neelofa di Instagram tampil memohon maaf berhubung dua isu yang terkait dengannya iaitu pelanggaran SOP ketika majlis perkahwinan dan merentas negeri ke Langkawi, Kedah bersama suaminya.

Bagaimanapun, kertas siasatan berkenaan dibuka pihak berkuasa selepas tular gambar yang menunjukkan berlaku pelanggaran SOP pada majlis perkahwinan mereka pada 27 Mac lalu.

Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000, manakala Riz sebanyak RM10,000. Dalam masa sama, 20 ahli keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter ketika majlis akad nikah mereka berlangsung.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan pegawai diberi kuasa mengikut subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 2:41pm
d