mutakhir

100 individu 'hilang' selepas positif Covid-19, tampil serah diri

Oleh Erika George

Bintulu: Semua 100 individu yang menghilangkan diri selepas disahkan positif Covid-19 di Bintulu, tampil menyerahkan diri semalam.

Secara purata, semua individu terbabit disahkan positif Covid-19 sejak 12 hingga 21 April lalu, namun mereka lari menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi.

Justeru itu, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjejak kesemua individu berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Pegawai Kesihatan Bintulu, Dr Melvin Chung Hsien Liang dalam kenyataannya hari ini, berkata semua individu yang dicari itu sudah datang ke Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, semalam bagi tujuan diberikan rawatan.

"Kami amat menghargai sikap individu terbabit yang mengikuti arahan dikeluarkan bagi memudahkan rawatan diberikan, sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19 di bahagian ini.

"Pihak hospital menarik nafas lega kerana semua pesakit sudah dapat dikesan dan menerima rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, mereka sendiri menghubungi pejabat kesihatan selepas Tiong menyatakan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka sekiranya masih bersembunyi dan ingkar dengan arahan diberikan.

Malah, mereka bersetuju untuk menerima rawatan di Hospital Bintulu dan Pusat Kawalan dan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC).

Tiong dalam kenyataan di Facebook miliknya memberikan amaran kepada pesakit terbabit agar tampil menyerahkan diri dalam tempoh 24 jam.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 6:14pm
d