mutakhir

Warga emas dikhuatiri lemas, lori terjunam ke sungai

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjunam ke dalam Sungai Perai, di sini, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.10 petang berhubung insiden itu.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dan BBP Butterworth ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Ketika tiba polis memaklumkan sebuah lori 10 tan terjunam ke dalam sungai dan terdapat satu mangsa lelaki berusia 66 tahun dikhuatiri lemas.

"Komander Operasi kemudian mengarahkan anggota membuat pencarian dilokasi dan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut digerakkan ke lokasi," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai di lokasi kejadian memaparkan seorang lelaki berjalan kaki dan menaiki sebuah lori yang diparkir sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam sungai.

Operasi SAR masih diteruskan dan Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka di lokasi kejadian.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 10:00pm
d