rencana

Alahai 'Kapak Kereta'

Oleh Mohd Rozaimy Rizuan

Bahasa adalah medium yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman dulu lagi. Bahasa juga antara aset terpenting dalam pembentukan keperibadian negara dan berperanan sebagai alat perpaduan yang berkesan bagi sesebuah negara bangsa.

Salah satu bahasa yang terpenting dan banyak digunakan oleh populasi di dunia adalah bahasa Melayu.

Sejarah juga menunjukkan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa Lingua Franca atau bahasa perhubungan Nusantara.

Kepentingan bahasa ini diperkukuhkan lagi apabila tempatnya dijulang sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, terdapat banyak kesalahan dan pencemaran bahasa pada papan tanda yang ditemui di tempat awam.

Antara aspek kesalahan bahasa yang terdapat pada papan tanda awam termasuklah dari segi kesalahan frasa, ejaan, penggunaan imbuhan, dan percampuran bahasa. Contohnya: Kesalahan ejaan – 'Pasaraya Rojemy' (sepatutnya dieja sebagai Pasar Raya) dan penggunaan imbuhan- 'Kawasan Merbahaya' (sepatutnya dieja sebagai Kawasan Berbahaya). Terdapat juga kesalahan seperti penggunaan singkatan ejaan pada gegantung yang seolah-olah merendahkan martabat bahasa kebangsaan.

Dari segi penggunaan frasa, ada juga yang kurang mahir dalam hukum penggunaan bahasa yang dengan jelas meletakkan unsur menerangkan (M) di hadapan, sedangkan unsur yang diterangkan (D) mestilah didahulukan seperti mana ketetapan hukum D-M.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya pencemaran bahasa pada papan tanda adalah disebabkan oleh sikap acuh tak acuh terhadap perkembangan bahasa, tidak menguasai sesuatu bahasa, kurangnya penguatkuasaan undang-undang, penggunaan papan tanda perniagaan yang lama dan sebagainya.

Isu kesalahan bahasa tidak boleh dipandang enteng kerana bahasa adalah budaya dan lambang keperibadian sesebuah bangsa yang sepatutnya dijulang tinggi.

Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan baik, perkara itu akan memberikan gambaran yang kurang manis tentang budaya sesebuah bangsa.

Malah, pencemaran bahasa yang berlaku secara berleluasa menggambarkan seolah-olah sesuatu bahasa itu tidak ada peraturan penggunaanya dan boleh digunakan dengan sesuka hati.

Pencemaran bahasa yang berlaku pada papan tanda awam juga boleh mengelirukan orang awam, terutamanya kepada anak-anak muda yang baru sahaja ingin mempelajari sesuatu bahasa berkenaan secara mendalam.

Mereka akan menganggap bahawa bahasa yang salah pada papan tanda awam adalah betul dan sekali gus mempraktikkan penggunaan bahasa yang salah itu ke dalam kehidupan seharian.

Situasi menjadi lebih malang apabila penggunaan bahasa yang salah ini terbawa-bawa ke alam pekerjaan dan ia nanti memberikan konotasi yang buruk kepada sesebuah organisasi.

Penggunaan bahasa yang salah pada papan tanda awam akan mencalarkan imej, bukan sahaja kepada seseorang individu malah organisasi mahupun negara.

Penggunaan bahasa yang salah pada papan tanda awam akan membuka ruang kepada orang awam untuk menjadikannya sebagai bahan lawak jenaka.

Penggunaan bahasa yang salah pada papan tanda seperti 'Bangla untuk dijual' (sepatutnya Banglo untuk dijual) dan 'Kapak Kereta' (Parkir Kereta) dengan jelas menjadi bahan lawak jenaka sehinggakan mesej-mesej itu cepat sahaja tersebar melalui media sosial.

Penggunaan bahasa Inggeris yang betul juga dituntut dalam memberikan mesej yang jelas kepada orang awam. Penggunaan bahasa Inggeris yang salah seperti Shoplifters will be prostituted (sepatutnya Shoplifters will be prosecuted) bukan sahaja mengubah maksud sebenar, malah akan menjadi bahan jenaka.

Kesalahan bahasa menjadi lebih serius sekiranya maklumat yang disampaikan itu datangya daripada pihak kerajaan.

Ucapan yang pernah dikeluarkan pada papan tanda elektronik pada satu ketika dahulu menjadi topik perbualan hangat rakyat Malaysia dan perkara itu seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua. Agenda memartabatkan bahasa adalah tanggungjawab bersama.

Pengusaha syarikat dan agensi kerajaan perlu memantau penggunaan bahasa dengan memperkasakan unit korporat di agensi masing-masing.

Orang awam yang mempunyai kelebihan dalam penggunaan bahasa disarankan menegur atau menasihati premis perniagaan atau pejabat kerajaan yang tidak menggunakan bahasa dengan betul.

Mungkin kesalahan bahasa yang dilakukan oleh si empunya premis itu tidak disengajakan atas faktor terlepas pandang mahupun kurangnya penguasaan pada bahasa tersebut.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada secara berkala bagi memastikan bahasa yang digunakan pada papan tanda awam adalah betul.

PBT yang didapati sedaya upaya memartabatkan bahasa perlu diberi anugerah yang sewajarnya demi melestarikan penggunaan bahasa yang betul.

Ada juga yang menyalahkan teknologi dan media sosial yang menjadi pencetus kepada pencemaran bahasa itu sendiri.

Perkembangan teknologi menyajikan perubahan yang drastik terhadap kehidupan mencakupi bahasa.

Tidak dinafikan penggunaan bahasa yang salah dan tidak formal sedikit sebanyak berpunca daripada penggunaan aplikasi WhatsApp, dan media sosial. Penulis berpendapat kita tidak boleh menyekat kehadiran teknologi kerana ramai yang mengakui peranannya sebagai alat untuk membawa kemajuan sesebuah negara. Apa yang penting, sebagai rakyat Malaysia yang berpendidikan, kita perlu tahu bila masanya untuk menggunakan bahasa yang formal dan sebaliknya.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Disiarkan pada: April 29, 2021 @ 6:15am
d