mutakhir

DPMM Johor edar 2,021 pek iftar percuma Ahad ini

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor akan mengagihkan 2,021 pek iftar secara percuma Ahad ini.

Pemangku Yang Dipertua DPMM Negeri Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, agihan dibuat secara pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegah penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, pek iftar berkenaan mengandungi roti John dan air hasil sumbangan ahli DPMM di seluruh Johor selain sokongan kumpulan usahawan di negeri ini.

Katanya, ia akan diagihkan mulai 4 petang sehingga 7 malam di Kejos Auto Project di 2 Jalan Bakti, Kawasan Perindustrian Dato Onn yang terletak bersebelahan pejabat Pos Larkin, di sini.

"Tujuan pengagihan juadah berkenaan adalah bagi meringankan beban warga bandar raya ketika pandemik ini.

"Kami pernah mengedarkan pek iftar sebelum ini dan ia menerima sambutan baik namun kali ini pengagihan dilakukan dengan mematuhi SOP," katanya.

Muhammed Farhan berkata, selain program agihan pek iftar, DPMM Negeri Johor turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada ibu tunggal, anak yatim dan golongan asnaf pada program berkenaan.

Disiarkan pada: April 29, 2021 @ 6:28pm
d