mutakhir

Bangunan ikonik ibu negara [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Masjid Jamek Kuala Lumpur atau lebih popular dipanggil Masjid Jamek KL kini berusia 113 tahun.

Bukan itu saja, malah ia antara bangunan ikonik di Malaysia, khususnya di ibu negara.

Berkeluasan 40,000 kaki persegi (0.3716 hektar), ia terletak dalam mukim Bukit Bintang, lokasinya sangat strategik di tengah pusat bandar bersebelahan Stesen LRT Masjid Jamek, berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

Masjid berkenaan siap dibina dan dibuka secara rasmi pada 23 Disember 1909 selepas tempoh pembinaan selama 21 bulan dengan kos $33,538.25 ($ adalah Straits Dollars iaitu nilai matawang bagi negara di bawah pentadbiran British ketika itu).

Dananya disumbang beberapa pihak seperti kerajaan ($20,000), Sultan Selangor Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah ($5,607.34), sumbangan perseorangan ($7,844) dan sumbangan bank ($86.91).

Antara senarai penyumbang perseorangan adalah Haji Ahmad Rembau dari Pudu, Hajah Aisha Abdullah, Haji Muhammad Zin Jamaludin, Tamby Muhammad Tamby Abdullah, Killah Abdullah, Haji Sahid Rembau dan Nakhoda Jusoh.

Kontraktor binaan pula ialah Jabatan Tenaga Kerja Raya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu manakala arkiteknya ialah Brigadier Jeneral Arthur Benison Hubback.

Ketika mula diletakkan batu asas masjid pada 23 Mac 1908, lokasi dipilih iaitu di daratan tengah pertembungan Sungai Klang dan Sungai Gombak, ia membolehkan air sungai itu menjadi tempat berwuduk kariah masjid.

Imam Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur Ustaz Ahmad Nizzam Rasali berkata, sehingga kini dua pancang kayu besar sejak asal terletak berhampiran sungai digunakan untuk menambat sampan masih kekal.

"Pada masa itu, penduduk yang datang untuk bersolat di masjid ini mengambil wuduk di tepi sungai.

"Semasa awal pembinaan masjid pada 1909, ia belum diberi nama khusus, hanya dinamakan dengan The New Malay Mosque atau Masjid Baru Orang Melayu," katanya.

Kemudian, masjid ini popular dengan nama Masjid Sultan Abdul Samad. Ia dinamakan sempena Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad selain sempena bangunan pentadbiran kerajaan yang berada berhampiran masjid iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad.

Selepas penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masjid ini diwartakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan nama Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Bercerita keunikan ciri binaannya, Ustaz Ahmad berkata, konsep atau ciri binaan adalah inspirasi seni bina Mughal, Moorish dan utara India.

"Ciri seni bina masjid ini juga dipengaruhi oleh konsep Arabasque. Bahan binaan ada yang diimport seperti lantai dewan solat utama (dari United Kingdom), tangga menara masjid (dari Itali) dan lampu hiasan dalam dewan solat (dari Mesir).

"Tembok juga dibina di sekeliling kawasan masjid kerana kedudukannya yang terletak di pertemuan antara dua sungai.

"Dua menara masjid setinggi 88 kaki (26.82 meter) dibina bercirikan Moorish. Tangga besi dibina di dalam menara sehingga ke puncak menara. Ia memberikan pemandangan menyeluruh Kuala Lumpur waktu itu.

"Sebagai landskap asli dengan alam, masjid dikelilingi oleh banyak pokok kelapa menjadikan suasananya unik serta istimewa," katanya.

Menurut beliau, arca yang mengelilingi masjid adalah inspirasi seni bina Mughal dan turut mempunyai kolam untuk mandi serta membersihkan diri.

Namun kini, ia sudah tiada dan lokasi itu diubahsuai menjadi ruang solat terbuka masjid.

Atap masjid pula dipayungi tiga kubah putih berbentuk bawang dan julung kalinya pada waktu itu di Kuala Lumpur, konsep bentuk bawang diaplikasikan untuk seni bina masjid.

"Kubah yang paling besar mempunyai ketinggian kira-kira 70 kaki (21.34 meter), terletak di tengah-tengah antara dua kubah yang lain.

"Lantai ruang utama solat pada asalnya dihiasi dengan marmar syarikat Doulton yang dibawa dari London.

"Reka bentuk marmar ini diilhamkan daripada sejadah yang digunakan oleh orang Melayu. Ia masih ada dan kini ditutup di bawah permaidani mihrab," katanya.

Beberapa proses pengubahsuaian turut dilakukan membabitkan masjid ini.

Dewan solat utama Masjid Jamek KL mampu memuatkan 400 jemaah, dewan solat terbuka pula 5,500 jemaah selain 7,900 jemaah di persekitaran masjid.

Untuk memperluaskan aktiviti hebahan aktiviti masjid, ia turut memiliki Studio Jamek FM iaitu stesen radio dalam talian yang dilancarkan secara rasmi 18 November tahun lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Disiarkan pada: May 1, 2021 @ 7:15am
d