rap

'Syok sendiri? Biarlah, dia bukan tengok pun'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Dia sepatutnya bantu drama kita untuk dibawa ke luar negara, bukannya mengutuk karya tempatan," kata pengarah dan penerbit drama bersiri fenomena, Nur, Shahrulezad Mohameddin mengenai kenyataan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang melabelkan drama itu sebagai 'syok sendiri' apabila hanya ditayangkan satu episod di stesen TV Indonesia, MNCTV sebelum dihentikan tayangannya, baru-baru ini.

Shahrulezad berkata, dia yang berkawan dan mengenali Zed tidak marah kerana tahu Presiden Seniman itu sendiri tidak tahu apa-apa kerana tidak menonton dramanya.

"Sebagai orang yang ada kedudukan dalam industri, dia sepatutnya membantu, bukan bercakap seperti itu," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Shahrulezad turut mendedahkan Nur kembali ditayangkan di dua stesen TV Indonesia iaitu MNCTV dan Muslim TV mulai hari ini.

Sharulezad berkata, dia sudah mendapat jadual tayangan baru di dua stesen itu sejak minggu lalu, namun kerana tak mahu panjangkan perkara ini, dia diamkan saja.

"Bagaimanapun, apabila Zed kata drama ini 'syok sendiri' baru-baru ini, saya muat naik jadual tayangan itu di Instagram kerana nak beritahu dia drama 'syok sendiri' ini bakal ditayangkan di dua stesen TV Indonesia," katanya.

Difahamkan, drama Nur ditayangkan kembali di Indonesia berikutan desakan peminat drama itu di sana yang marah apabila tayangannya dihentikan.

Ia cuma berjaya ditayangkan pada 13 April lalu ketika slot waktu perdana di Indonesia namun seminggu kemudian digantikan dengan sinetron negara itu.

Shahrulezad berkata, tugasnya adalah menerbitkan karya yang terbaik dan ke mana hala tujunya selepas itu, bukan lagi urusannya kerana ia sudah menjadi hak milik stesen TV.

"Pihak stesen TV dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) yang sepatutnya bekerja untuk memasarkan karya kita ke luar. Apa pun saya berterima kasih dengan TV3 yang berusaha membawa Nur ke Indonesia," katanya.

Menurutnya, jika Nur tidak berkualiti dan 'syok sendiri', kenapa idea asal drama itu ditiru produksi Indonesia dan hasilkan drama dengan judul Bismillah Cinta.

"Mereka meniru cerita kita tanpa izin. Itu saya serahkan kepada TV3 untuk uruskan. Bagi pihak saya, itu membuktikan bahawa karya kita tidaklah seteruk yang diperkatakan.

"Kalau tak ada kualiti, tak mungkin produksi luar yang berskala besar nak tiru. Jadi, apa yang buatkan karya kita dilabel 'syok sendiri'?" katanya.

Selain 'syok sendiri', Zed turut menyifatkan drama Nur hanya gah dari segi populariti dan bukannya kualiti.

Nur yang diterbitkan Radius One pernah mencipta fenomena apabila meraih 10 juta tontonan ketika ditayangkan di TV3 pada 2018.

Ia menampilkan lakonan Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani, Noorkhiriah, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi.

Disiarkan pada: May 1, 2021 @ 1:46pm
d