mutakhir

Warga Bangladesh positif Covid-19 maut ditikam dengan pemutar skru

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas ditikam dengan pemutar skru oleh dua rakan senegara mereka dalam pergaduhan membabitkan warga Bangladesh yang positif Covid-19, di rumah kongsi kilang kertas di Bandar Perindustrian Mahkota Banting, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Babu, 44, mati selepas ditikam di bahagian dada dipercayai terkena jantung manakala dua lagi rakannya, mengalami kecederaan selepas ditikam di bahagian perut dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu.

"Kedua-dua suspek melarikan diri selepas menikam si mati," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan mendapati pada 28 April, pihak pengurusan kilang berkenaan membuat ujian swab Covid-19 terhadap semua pekerja asing yang tinggal di kawasan itu.

"Daripada 140 pekerja, 30 daripadanya didapati positif dan semua yang positif diasingkan (kuarantin) dan ditempatkan di satu tempat, tidak jauh dari rumah kongsi berkenaan," katanya.

Azizan berkata, punca pergaduhan dipercayai ekoran suspek mengeluarkan barang-barang kepunyaan si mati dari rumah kongsi tanpa kebenarannya dan berlaku pertengkaran serta pergelutan antara mereka.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 42 dan 44 tahun itu berjaya ditahan pada 3.30 pagi semalam di selepas didapati bersembunyi di persimpangan Taman Manggis Jaya.

"Mereka mengaku bergaduh dengan si mati dan menikam mangsa dengan menggunakan pemutar skru," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2021 @ 4:46pm
d