mutakhir

Lebih 70 peratus katil diguna pesakit Covid-19

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Penggunaan katil untuk merawat pesakit Covid-19 di negeri ini didapati sudah mencapai kapasiti lebih 70 peratus terutama bagi merawat kes kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, keadaan itu agak membimbangkan berikutan penularan kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

"Saya dimaklumkan penggunaan katil sekarang sudah mencapai lebih 70 peratus. Sekiranya angka pesakit Covid-19 terus bertambah dan kes sembuh lambat, maka ia akan menyebabkan penggunaan katil turut bertambah.

"Kita perlu katil simpanan sekurang-kurangnya 30 peratus lagi untuk menampung kes baharu yang tidak dapat kita jangka," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, hospital yang mempunyai kelengkapan merawat kes Covid-19 serius adalah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Katanya, pesakit yang didapati berada dalam keadaan kritikal dari daerah lain akan dibawa dan dirawat di dua hospital berkenaan.

"Selain itu, terdapat juga hospital swasta di negeri ini yang mempunyai kelengkapan dan turut memainkan peranan merawat pesakit Covid-19.

"Sebab itu kerajaan perlu melaksanakan Ordinans Darurat kerana apabila dikuat kuasa, hospital swasta boleh diarah dibuka bagi diguna membantu kerajaan merawat kes Covid-19," katanya.

Semalam, media melaporkan kadar penggunaan katil rawatan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 hospital di Lembah Klang secara purata mencapai 90 peratus dan sudah mencapai tahap melebihi ambang amaran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 3, 2021 @ 3:10pm
    d