bisnes

Sasar 300 stesen minyak Shell dikuasa tenaga solar

Oleh Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Shell Malaysia menyasarkan sebanyak 300 stesen minyak miliknya akan dikuasakan oleh tenaga solar menjelang akhir tahun ini.

Ia seiring dengan komitmennya untuk mengurangkan kesan terhadap perubahan iklim serta mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, ketika ini sebanyak 151 stesen minyak Shell sudah dikuasakan tenaga solar dengan tiga daripadanya mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

"Komitmen Shell adalah untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 dan ketika ini juga Shell Malaysia pantas untuk mencapai komitmen ini.

"Shell Malaysia juga sedang dalam proses akhir mendapatkan pensijilan GBI bagi lima stesen minyak. Sasaran kami bagi mendapat GBI pada tahun ini ialah sebanyak 40 stesen.

"Komitmen ini memerlukan pelaburan berterusan dan kerjasama semua pihak. Shell Malaysia sentiasa komited dalam mencapai agenda yang ditetapkan," katanya selepas majlis penganugerahan GBI kepada Stesen Minyak Shell Mint Hotel, semalam.

Shairan Huzani berkata, Shell Malaysia memberi fokus kepada strategi baharu tahun ini iaitu Powering Progress yang bertujuan menyokong peningkatan kemajuan dengan menyediakan penyelesaian tenaga yang banyak dan bersih.

Beliau berkata, fokus terbaharu itu akan membolehkan kumpulan mempercepatkan peralihan perniagaannya mencapai pelepasan karbon sifar bersih, yang mana kelestarian dicapai akan menjadikan perjalanan hidup lebih baik untuk pelanggan dan masyarakat sekitar.

Sebagai contoh, katanya, inisiatif rendah karbon yang inovatif merangkumi Shell Recharge dan membawa Reverse Vending Machine di stesen minyaknya.

"Stesen Minyak Shell Mint Hotel adalah tonggak terbaru kami untuk memenuhi komitmen ini," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 9:09am
d