mutakhir

Boleh siasat mengikut kesalahan rasuah politik [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Meskipun tiada peruntukan yang melarang pemimpin atau ahli melompat parti, siasatan masih boleh dilakukan sekiranya terdapat laporan mengenai rasuah politik termasuk pemberian sumbangan untuk meraih sokongan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan dibuat mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012, dengan kebanyakan kes membabitkan mereka yang didakwa meraih sokongan dengan bayaran wang tertentu.

"Sebagai contoh kes Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan cubaan menyogoknya oleh pihak tertentu.

"Tapi undang-undang tidak melarang mana-mana pihak untuk pergi ke parti lain.

"Terdapat juga mereka yang keluar parti jadi bebas. Ini pun bukan kesalahan lagi di bawah undang-undang negara kita," katanya yang ditemui selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dana SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang menggesa SPRM menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik yang lompat parti bagi mendapatkan habuan.

Abdul Hamid dilaporkan berkata, pihaknya memerangi rasuah dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun dalam politik rasuah berlaku di mana-mana dan menggesa SPRM bertindak.

Sementara itu ditanya dakwaan Abdul Hamid mengenai campur tangan politik dalam PDRM, Azam menyifatkan perkara itu sebagai masalah dalaman pasukan berkenaan.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 2:19pm
d