mutakhir

SPRM Kedah sita wang tunai, aset RM8.1 juta

Oleh BERNAMA

Jitra: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menyita dan membekukan wang tunai dan aset berjumlah RM8.1 juta berkaitan kes rasuah, salah guna kuasa dan tuntutan palsu di negeri ini dari awal tahun sehingga kini.

Pengarahnya Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, bagi tempoh itu juga pihaknya sudah menahan 47 individu termasuk 26 penjawat awam, dengan 33 kertas siasatan dibuka.

"Daripada 33 kertas siasatan yang dibuka itu, 24 daripadanya adalah bagi kesalahan menerima rasuah, manakala selebihnya berkaitan kesalahan memberi suapan, tuntutan palsu dan salah guna kuasa.

"Sebanyak 21 pertuduhan pula dibuat di mahkamah berdasarkan beberapa seksyen di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf sempena Program Ziarah Kasih Ramadan 1442H SPRM Kedah di Changlun, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Shaharom Nizam menyeru semua pihak terutama penjawat awam untuk melaporkan kepada SPRM sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti rasuah supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Katanya, SPRM Kedah juga baru-baru ini mengambil inisiatif melancarkan kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah Kedah (GEMPARK) yang bertujuan mendidik penjawat awam dan masyarakat untuk menolak sebarang bentuk tawaran atau pemberian rasuah.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 4:36pm
d