bisnes

Kursus percuma RichWorks

Oleh Suliati Asri

Kuala Lumpur: RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks International) komited memperkasa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama yang memerlukan bantuan disebabkan pandemik Covid-19 menerusi penganjuran Program Zero Kos Marketing (ZKM) - Edisi Khas Bina Bisnes Berjaya.

Timbalan Naib Presiden Kanan RichWorks, Radz Mohd berkata, pihaknya melalui panduan ilmu pemasaran tanpa kos itu akan menganjurkan program virtual online secara percuma selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Mei ini.

"Kami memahami masalah dihadapi ramai usahawan dan PKS kini yang terpaksa mencari jalan untuk memastikan bisnes dilakukan dapat bertahan.

"Justeru, kami membawakan program Zero Kos Marketing (ZKM) - Edisi Khas Bina Bisnes Berjaya memfokuskan soal pemasaran iaitu antara aspek terpenting bagi sesebuah bisnes dapat terus bertahan, malah berkembang ke tahap lebih tinggi dengan ilmu pemasaran yang tepat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program itu.

Radz berkata, RichWorks menyasarkan 100,000 peserta mendaftar dalam program yang bakal diadakan secara dalam talian itu, sekali gus membolehkan peserta mempelajari pemasaran tanpa kos di mana saja mereka berada.

"Mentor yang juga Pengasas RichWorks, Datuk Wira Dr Azizan Osman mengumpamakan bahawa pemasaran itu ialah oksigen bagi seseorang usahawan.

"Tanpa oksigen, seseorang itu tidak dapat bernafas dan akan mati. Begitu juga bagi sesebuah bisnes, jika tidak ada atau salah pemasarannya maka tunggu saja masa untuk tutup.

"Jadi, menerusi program ini, kita akan kongsikan panduan dan tip penting bagi usahawan memanfaatkan Zero Kos Marketing agar bisnes mereka dapat terus bertahan malah terus meningkat," katanya.

Menurutnya, RichWorks berharap usahawan atau bakal usahawan di luar sana dapat memberi peluang kepada diri, datang belajar dan hayati teknik serta formula yang sudah dilakukan dan berjaya membantu ramai menjadi jutawan.

Selain turut meraikan usahawan dan wakil persatuan PKS, RichWorks turut mengumumkan pemenang pertama Peraduan Aspirasi Bina Bisnes Berjaya Capai 1 Juta Pertama, Ejen Chocodaps, Erdayu Rosli yang berjaya mendapatkan tajaan permentoran Spire selama 12 bulan bernilai RM25,000 secara percuma.

"Pemenang akan dibimbing dalam empat teras utama iaitu jualan dan pemasaran, kepemimpinan, pematuhan dan operasi yang perlu bagi membina sebuah bisnes berjaya agar mampu capai jualan RM1 juta pertama dalam tempoh enam bulan ke setahun.

"Erdayu pemenang pertama. Kami masih mencari sembilan orang lagi usahawan yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk memenangi Peraduan Aspirasi Bina Bisnes Berjaya Capai 1 Juta ini.

"Jadi, kepada peniaga di luar sana jangan lepaskan peluang belajar dengan bimbingan secara percuma selama enam bulan hingga setahun," katanya.

Keterangan lanjut program ZKM dan peraduan Aspirasi layari www.BinaBisnesBerjaya.com.

Disiarkan pada: May 6, 2021 @ 5:13pm
d