mutakhir

1,000 kakitangan Penjara Kajang dirai

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Seramai 1,000 kakitangan Penjara Kajang diraikan dengan pemberian sumbangan daripada Kelab Penjara Kajang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, semalam.

Pengarah Penjara Kajang Timbalan Komisioner Penjara Abdul Halim Ma-Hassan berskata, pemberian sumbangan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua kakitangan penjara berkenaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Seperti tahun lalu, pada tahun ini juga, tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri diadakan di Penjara Kajang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Hulu Langat yang bermula hari ini hingga 17 Mei nanti.

"Kami mahu memberikan sumbangan sebanyak RM120 setiap seorang dalam bentuk wang tunai, kupon operasi serta kuih raya kepada kakitangan sebagai penghargaan kepada mereka.

"Malah, pemberian sumbangan ini diadakan setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri sejak saya menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Penjara Kajang sejak 2017," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Abdul Halim berkata, pihaknya akur dengan arahan kerajaan supaya mematuhi promosi operansi standard (SOP) ditetapkan sepanjang perlaksaan PKP.

"Jika dulu, kita ada mengadakan program khusus untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri termasuk membabitkan banduan bersama ahli keluarga mereka menerusi Program Jalinan Kasih.

"Namun, program berkenaan sudah tidak dianjurkan sejak tahun lalu susulan perlaksanaan PKP dan rata-rata kakitangan kami perlu bertugas pada Hari Raya Aidilfitri dengan amalan norma baharu," katanya.

Sementara itu, seorang anggota yang bertugas di Penjara Kajang, Sarjan Mohamad Embong berkata, pemberian sumbangan berkenaan amat dihargai terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

"Sumbangan ini bukan sahaja sebagai tanda bagi menghargai kakitangan, malah ia membantu meringankan beban dengan pemberian wang tunai serta kelengkapan sambutan Hari Raya (Aidilfitri) seperti kuih raya.

"Dari segi sambutan perayaan saya pada tahun ini, ia sama sahaja seperti tahun lalu memandangkan saya juga perlu bertugas ketika hari raya nanti," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2021 @ 6:58pm
d