PnP

Masjid serba moden

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

BAGI menampung keperluan masyarakat dan untuk pembelajaran pelajar tahfiz Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat, Pantai Remis, Perak, sebuah masjid baru dicadangkan dibina di kawasan sekitar madrasah berkenaan.

Masjid yang bakal dinamakan Masjid Al-Ulum Wattoiyibah itu sudah mendapat kelulusan untuk pembinaannya daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) pada tahun 2016 dan dibina di Kampung Tebuk Yan 2 iaitu bersebelahan dengan tapak madrasah.

Ia bakal dibina di atas tanah seluas 1.7 hektardan masjid itu kelak akan beroperasi 24 jam khusus untuk majlis seperti pengajian agama, kursus umrah, aktiviti ibadah pada Ramadan dan banyak lagi bagi memenuhi permintaan 17,000

penduduk kampung sekitar. Ia turut dilengkapi penginapan untuk musafir serta orang-orang tua yang ingin mengikuti kelas pengajian kitab agama.

Projek pembinaannya bermula pada pertengahan tahun lalu dan dijangka siap untuk digunakan pada hujung tahun 2022.

Masjid Al Ulum Wattoiyibah mempunyai kemudahan yang lengkap bagi memenuhi keperluan jemaah dan juga pelajar madrasah.

Antara kemudahan yang turut dirancang dalam pelan pembinaan adalah dewan solat, dewan madrasah, bilik mesyuarat, bilik jenazah, tandas, bazar dan kelas madrasah.

Jawatankuasa Pembangunan Dana Waqaf Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman berkata, setakat ini dana dan sumbangan yang diterima daripada orang ramai serta pihak korporat adalah sebanyak RM3.3 juta namun masjid masih memerlukan dana sebanyak RM21.7 juta.

Katanya, kerja-kerja fasa pertama berjalan lancar dan fasa kedua pula dijadualkan pada tahun ini sekiranya tiada sebarang kekangan.

"Disebabkan itu, kami berharap seluruh masyarakat Islam di negara ini dapat membantu untuk memberi sumbangan dana.

"Selain membolehkan masyarakat setempat menunaikan ibadah fardu dan menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan sepanjang hari, masjid ini juga akan menjadi pusat aktiviti Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat yang melahirkan generasi huffaz yang akan terus menyuburkan qalam Allah selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, Madrasah Darul Ulum Wal Qiraat menyediakan Pengajian Tahfiz Al-Quran sepenuh masa sebagai teras pengajian yang memfokuskan kepada penghafalan al-Quran beserta tajwid dan qiroat.

Mudir madrasah itu,Ustaz Maulana Jalaluddin Al-Hafiz Abdul Rahman berkata, Pengajian Kitab Turath turut juga disediakan sebagai menyambung usaha ulama silam dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat serta penting bagi membentuk kehidupan sosio-agama masyarakat Islam.

"Turut diadakan adalah program ceramah agama yang diadakan berdasarkan permintaan masyarakat bagi manfaat bersama," katanya.

Bagi yang ingin menyumbang, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Tabung Pembangunan Masjid Al-Ulum Wattoiyibah - 5581 8106 1053 (Maybank) atau melalui website https://masjidalulumwattoiyibah.com

Anda juga boleh hadir sendiri ke Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat, No 324, Jalan Pantai Remis, Kg Tebuk Yan 2. 34900 Pantai Remis, Perak atau boleh hubungi terus Ustaz Maulana Jalaluddin Al-Hafiz (0137745568) atau Ustaz Mohd Safian (012602 9655).

Disiarkan pada: May 7, 2021 @ 6:23am
d