Sukan Lain

Nadal tetap optimis

Oleh AFP

Madrid: Rafeal Nadal mengakui kekalahannya 6-4, 6-4 kepada pemain Jerman, Alexander Zverev di suku akhir Terbuka Madrid semalam adalah 'satu langkah ke belakang' namun menegaskan banyak faktor positif yang diraih menjelang pemburuan gelaran Roland Garros ke-14.

Nadal kini tewas dua pertandingan Masters di gelanggang tanah liat menjelang Grand Slam Paris selepas tewas di suku akhir Monte Carlo bulan lalu sebelum menang di Barcelona.

Biarpun begitu di Barcelona, dia perlu menyelamatkan mata kejuaraan untuk menewaskan Stefanos Tsitsipas di final.

Nadal berharap dapat merangkul gelaran Roland Garros ke-14 dan mencatatkan rekod utama yang ke-21 di Perancis bulan depan.

"Saya ambil satu langkah ke depan tapi apabila anda menaiki anak tangga, terdapat beberapa ketika apabila ia berlaku anda perlu mundur ke belakang dan itu yang terjadi hari ini," kata Nadal yang juara lima kali Madrid.

"Ini adalah minggu di mana banyak perkara positif. Saya meninggalkan Madrid dengan perasaan yang baik dan buruknya adalah beraksi dengan teruk seperti hari ini.

"Sekarang apa yang ingin dilakukan sebelum Roland Garros? Pergi ke Rome (Terbuka Itali minggu depan ) dan menang, itu saja."

Nadal berharap dapat mara ke separuh akhir acara Masters untuk kali ke-75.

"Saya bermain dengan baik di awal perlawanan dan enam perlawanan seterusnya dan mungkin lebih baik daripada dia.

"Tapi selepas 4-2 kemudian 5-2, semuanya bertukar menjadi malapetaka."

Nadal berkata: "Sudah tentu melawan salah satu pemain terbaik di dunia dalam keadaan seperti ini dengan kelajuan gelanggang, ia satu yang sukar."

Disiarkan pada: May 8, 2021 @ 1:30pm
d