Asia

Ratusan penduduk Palestin cedera dalam pertempuran terbaharu

Oleh AFP

Baitulmaqdis: Ratusan individu lagi cedera dalam siri pertempuran terbaharu antara Palestin dan pasukan keselamatan Israel di sini, hari ini.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin dalam kenyataannya memaklumkan dianggarkan 50 individu dirawat di hospital susulan insiden berkenaan.

Terdahulu, berlaku pertempuran antara penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel di sini, pada malam Jumaat dan Sabtu.

Siri pertempuran pertama pada malam Jumaat menyaksikan seramai 178 orang cedera dalam serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan daerah Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 88 dibawa ke hospital di Baitulmaqdis dan yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

Dianggarkan seramai 80 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran malam kedua dengan polis Israel di Masjid Al-Aqsa di sini pada Sabtu.

Tunjuk perasaan pada malam kedua itu didorong cubaan peneroka Yahudi untuk mengambil alih rumah Palestin yang berdekatan di Baitulmaqdis Timur.

Insiden itu adalah yang terburuk pernah berlaku di Masjid Al-Aqsa sejak 2017.

Susulan itu, mahkamah menangguhkan keputusan kes membabitkan pertikaian membabitkan pendatang Israel dan penduduk Palestin bagi mengelakkan keadaan jadi bertambah tegang.

Mengikut jadual, prosiding kes itu sepatutnya diadakan pada hari ini, tetapi sudah ditangguhkan.

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 4:50pm
d