mutakhir

Lelaki parah diserang buaya

Oleh Erika George

Miri: Seorang lelaki yang keluar memasang pukat ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan pada tangan kanannya akibat digigit buaya berhampiran Sungai Sandai, di sini, tengah hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah Francis Acheh berkata, mangsa dikatakan turun dari rumah panjangnya di Tuai Rumah Sangan Suai, pada 5 petang semalam.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang dikenali sebagai Bungkung Chalin, 50, tidak balik semalaman menyebabkan ahli keluaran mangsa menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah pada 12.57 tengah hari tadi bagi bantuan kecemasan.

"Sejurus itu, kami menjalankan pemeriksaan di sungai berhampiran rumah panjang, lokasi mangsa memasang pukat.

"Kami menemukan mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dari jarak 10 meter pukat dipasangnya di anak sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mangsa parah pada bahagian tangan kanannya dipercayai digigit reptilia ganas itu.

Katanya, selepas memberikan rawatan awal, mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Miri bagi diberikan rawatan lanjut.

"Mujurlah mangsa terselamat dan tidak diseret reptilia ganas terbabit ke dasar sungai," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2021 @ 8:08pm
d