mutakhir

Pusat judi online baru sebulan operasi diserbu polis

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tiga lelaki termasuk penjaga premis dicekup dalam serbuan di sebuah premis di Taman Maluri, Cheras di sini, yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, hasil pemeriksaan polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun mengaku sebagai penjaga premis.

"Terdapat dua lelaki berusia 49 dan 58 tahun yang sedang leka bermain judi menggunakan tablet turut ditahan.

"Polis merampas tiga unit tablet, satu unit modem dan wang tunai berjumlah RM80," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, siasatan mendapati premis yang beroperasi di tingkat satu itu baru sebulan menjalankan aktiviti terbabit dan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja memasuki premis.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: May 18, 2021 @ 2:27pm
d