Sukan Lain

Fury kena bayar Wilder RM46 juta

Oleh Agensi

Los Angeles: Tyson Fury perlu membayar Deontay Wilder sejumlah besar wang bagi memastikan pertembungan heavyweight dengan Anthony Joshua menjadi kenyataan.

Gypsy King berusia 32 tahun itu menewaskan jaguh Amerika Syarikat (AS) itu pada Februari 2020 tetapi terikat kontrak dengan pertarungan ketiga.

Kecederaan dialami Wilder dan pandemik Covid-19 menyebabkan pertarungan trilogy itu ditangguhkan sehinggalah pasukan Fury mendakwa tempohnya telah tamat.

Fury yang juga juara WBC dan AJ pula sibuk mengaturkan pertarungan di Arab Saudi tetapi hakim di AS, Daniel Weinstein semalam membuat keputusan bahawa Wilder masih berhak untuk pertarungan ketiga yang perlu berlangsung sebelum September.

Melainkan pasukan Fury menang rayuan, satu-satunya cara untuk memastikan pertarungan terbesar dalam sejarah tinju Britain itu ialah membayar Wilder yang berdasarkan habuan pada pertarungan terakhir di Las Vegas boleh mencecah sehingga £8 juta (RM46.79 juta).

Fury dan Wilder tidak bertarung sejak pertarungan di Las Vegas pada Februari tahun lalu yang menyaksikan Fury menewaskan lawannya itu menerusi TKO di pusingan ketujuh.

Disiarkan pada: May 18, 2021 @ 2:34pm
d