mutakhir

MBSP pasang kawat berduri tutup lorong tikus [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memasang kawat berduri di Pasar Awam Bagan Ajam, di sini, bagi menutup lorong tikus yang sering digunakan pengunjung sekali gus mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

Terdahulu, MBSP mengenal pasti enam pasar awam di Seberang Perai didapati mempunyai lorong tikus sehingga menyebabkan pengunjung tidak melakukan pemeriksaan suhu dan pendaftaran Mysejahtera di pintu masuk utama.

Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud dilaporkan berkata, pihaknya mengambil langkah untuk memasang kawat berduri dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.

"Diharapkan dengan pemasangan kawat berduri ini, orang ramai yang datang ke pasar awam mengikut SOP.

"MBSP akan memantau pasar awam, pasar pagi, pasar tani, pasar harian, pasar minggu, pasar malam dan kompleks makanan dengan memastikan semua peniaga dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Bermula Rabu minggu lalu hingga semalam, MBSP menutup kompleks makanan dan lot khinzir di Pasar Awam Bagan Ajam selepas terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan melalui Kluster Terbilang.

Disiarkan pada: May 18, 2021 @ 4:47pm
d