mutakhir

Ingkar SOP PKP: Empat Lelaki dikompaun di PD

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Empat individu dikompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Pantai Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pasukan Task Force SOP (PKP) dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson mengeluarkan empat kompaun ke atas empat lelaki terbabit di sekitar Pantai Port Dickson.

Beliau berkata, dua kompaun dikeluarkan kepada dua lelaki berusia 21 tahun dan 25 tahun di Pantai Seri Kemang atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

"Kompaun ketiga dikeluarkan kepada pemuda berumur 33 tahun di kawasan parkir di Pantai Dataran Kemang kerana atas kesalahan merentas daerah dari Seremban ke Port Dickson tanpa surat kebenaran rentas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Seorang lagi individu berusia 29 tahun dari Sungai Udang, Melaka dikompaun di Pantai Cahaya Negeri Port Dickson kerana merentas tanpa kebenaran PDRM," katanya dalam satu kenyataan media, tengah malam tadi.

Beliau berkata, kompaun RM1,500 dikenakan untuk kesalahan tidak memakai pelitup muka manakala RM5,000 bagi kesalahan rentas daerah tanpa surat kebenaran.

Menurutnya, polis khususnya IPD Port Dickson memandang serius sebarang pelanggaran SOP PKP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP sepanjang PKP sehingga 7 Jun ini.

Disiarkan pada: May 19, 2021 @ 8:21am
d