mutakhir

Ibu, anak 'tersadai' di jalan selepas motosikal habis petrol diselamatkan...

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seorang ibu dan anak yang 'tersadai' ketika motosikal mereka kehabisan petrol di jalan menghala ke Ijok, di sini, mendapat bantuan kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), semalam.

Menerusi status dimuat naik di Facebook LZS, kakitangan yang sedang melakukan rutin siasatan harian terserempak dengan wanita itu dalam keadaan resah, manakala anaknya pula haus.

Malah, gambar turut menunjukkan kedua-dua individu terbabit bersungguh-sungguh membantu hingga menarik perhatian di kalangan netizen.

Rata-rata netizen juga kagum dengan kebaikan yang ditunjukkan dan rata-rata mereka mendoakan kesejahteraan untuk kedua kakitangan itu.

Katanya, simpati dengan keadaan wanita dan anaknya itu, mereka membelikan petrol dan minuman di sebuah stesen minyak berhampiran.

"Kami bertanya hendak ke mana dan adakah motosikal mereka rosak? Wanita itu menjawab mereka hendak balik ke rumah di Alam Jaya.

"Malah, wanita itu ingat sempat sampai stesen minyak di simpang Ijok...tetapi tidak sempat kerana (motosikal) kehabisan minyak," katanya, hari ini.

Menurut status itu, wanita terbabit juga perlu menolak motosikalnya sejauh dua kilometer untuk mengisi minyak, tetapi tidak terdaya berikutan jauh.

Sehubungan itu, LZS turut mengingatkan setiap pemandu khususnya golongan wanita supaya mengamalkan Rutin Pemeriksaan Kenderaan (RPK) bagi memastikan perjalanan pergi dan pulang selamat.

Disiarkan pada: May 26, 2021 @ 1:11pm
d