Amerika Utara

Lelaki tembak mati lapan rakan sekerja

Oleh BERNAMA

Washington: Seorang pekerja di depoh kereta api di California, Amerika Syarikat (AS) menembak mati lapan rakan sekerjanya semalam.

Timbalan Syerif Santa Clara, Russell Davis berkata, suspek turut disahkan mati di lokasi kejadian, manakala beberapa individu lain parah.

Katanya, skuad pemusnah bom turut dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kemungkinan ada bahan letupan di kawasan berkenaan.

"Seramai lapan orang disahkan terkorban setakat ini, manakala suspek, seorang lelaki, turut disahkan mati.

"Suspek adalah pekerja Pihak Berkuasa Pengangkutan Valley (VTA)," katanya yang tidak menolak kemungkinan jumlah mangsa akan bertambah.

Difahamkan, polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima beberapa panggilan kecemasan melaporkan kejadian tembakan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada suspek ditembak oleh polis atau membunuh diri serta jenis senjata yang digunakannya.

Syerif Santa Clara Laurie Smith berkata, ketika petugas tiba di tempat kejadian, kedengaran bunyi tembakan masih berlaku dan mangsa ditembak di dua bangunan berasingan.

Pihak berkuasa belum mengenal pasti suspek secara terperinci dan hanya mengetahui dia adalah pekerja di stesen kereta api.

Disiarkan pada: May 27, 2021 @ 2:54pm
d