mutakhir

Hospital Selayang pula sediakan kontena simpan mayat pesakit Covid-19

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jumlah kematian akibat Covid-19 yang meningkat saban hari memaksa penyediaan sebuah lagi kontena khas sebagai tambahan bagi tempat penyimpanan mayat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, kontena itu disediakan oleh Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang.

"Ia adalah yang kedua selepas Hospital Sungai Buloh.

"Kontena khas ini boleh menempatkan 20 jenazah memandangkan peti mayat di hospital sentiasa penuh," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kematian akibat Covid-19 di negara semakin bertambah terutama di Lembah Klang.

Hari ini, sebanyak 7,857 kes baharu Covid-19 direkodkan iaitu jumlah harian tertinggi dengan 59 kematian.

Pada 16 Mei lalu, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan bagi tempat penyimpanan individu yang meninggal dunia akibat Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 27, 2021 @ 11:25pm
    d