mutakhir

Permohonan kontena mayat oleh HSB dipertimbangkan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Kubang Pasu: Kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan permohonan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menyediakan dua kontena bagi menempatkan jenazah individu yang meninggal dunia di hospital berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, permohonan itu akan dipanjangkan dalam mesyuarat Exco secara dalam talian jam 11 pagi esok.

"Saya ada menerima makluman daripada doktor bahawa HSB memerlukan dua kontena untuk tempatkan mayat dengan segera. Sekarang hospital masih gunakan bilik mayat.

"Mungkin dengan keadaan Covid-19 dan kadar kematian yang semakin meningkat, mereka perlukan kontena untuk simpan mayat, kita harap mereka akan dapat kontena ini kerana saya tahu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor seorang yang prihatin dan mendengar keluhan rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Halimaton Shaadiah berkata, pertimbangan itu memerlukan penelitian rapi sama ada peruntukkan itu mampu disediakan kerajaan negeri atau perlu memohon peruntukkan kerajaan pusat seperti hospital di Selangor yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata demikian selepas majlis sumbangan 26 katil bernilai hampir RM60,000 kepada Hospital Jitra oleh SG Energy Sdn Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhammad Arof Darus, Pengarah Hospital Jitra, Dr Parozy Faizah Fazil dan Pegawai Eksekutif SG Energy Sdn Bhd, Izzul Saly Ali.

Halimaton Shaadiah berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan sumbangan peralatan kesihatan daripada orang perseorangan dan usahawan terutama membabitkan katil dan tabung oksigen.

Katanya, ketika ini terdapat 27 katil di unit rawatan rapi (ICU) untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital berkenaan dengan hanya 16 katil dilengkapi tabung oksigen.

"Jadi jumlah tabung oksigen sekarang tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit Covid-19 yang semakin bertambah, kita harap ramai usahawan dan dermawan dapat menyalurkan sumbangan mereka kepada Hospital Jitra.

"Hari ini kita bersyukur kerana ada syarikat tampil menyumbangkan katil bersama bantal untuk pesakit di hospital ini,"katanya.

Semalam, Kubang Pasu mencatatkan 90 kes baharu iaitu 42 daripadanya membabitkan saringan kontak rapat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 30, 2021 @ 5:15pm
    d