mutakhir

Operator kilang cedera dilibas parang

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Seorang operator kilang mengalami kecederaan di tangan selepas dilibas dengan parang oleh rakan sekerja dalam kejadian di sebuah kilang racun serangga di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pada kejadian 7 malam itu, suspek lelaki tempatan berusia 25 tahun dipercayai berselisih faham dengan mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 34 tahun.

Katanya, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana mangsa kerap menukar giliran kerja dan difahamkan, suspek baru sebulan bekerja di kilang terbabit.

"Ketika berlaku perselisihan faham, suspek mengajak mangsa untuk bergaduh dan secara tiba-tiba mengeluarkan parang dari pinggangnya seterusnya melibas ke arah suspek.

"Mangsa kemudian bertindak menahan libasan itu dengan menggunakan tangan kanan dan mengalami kecederaan.

"Susulan kejadian itu, suspek berjaya di tahan di rumahnya di Kampung Perigi Nenas, kira-kira 12 tengah hari semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya, suspek turut mengakui terbabit dalam kes itu dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas permohonan reman hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 2, 2021 @ 9:29am
d