mutakhir

Covid-19: Pasukan pematuhan tambahan ditambah

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Polis Sabah menghantar pasukan pematuhan tambahan di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Ia bagi memperketatkan lagi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya di daerah seperti Lahad Datu, Kunak dan Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, ini berikutan kenaikan statistik jangkitan Covid-19 di daerah berkenaan yang kini pada paras amat membimbangkan.

Katanya, pihaknya sudah menghantar pasukan pematuhan tambahan ke daerah-daerah berkenaan bagi membantu menangani penularan kes Covid-19.

"Kita tidak akan berkompromi dan kita hantar team-team pematuhan ke daerah-daerah yang kes meningkat seperti di Lahad Datu, Kunak dan Tawau.

"Saya risau dengan Tawau kerana jangkitan Covid-19 di daerah itu ada di mana-mana tempat. Ini cukup merisaukan sebab itu saya hantar team pematuhan yang lebih agresif terutama di Tawau dan Kalabakan.

"Juga kelmarin ada peningkatan sedikit di Lahad Datu dan juga Kunak pun saya hantar pasukan pematuhan," katanya pada sidang media Pematuhan SOP Covid-19 Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 60 kompaun dikeluarkan menerusi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Sabah pada hari pertama sekatan pergerakan penuh (SPP).

Disiarkan pada: June 2, 2021 @ 4:58pm
d