mutakhir

Konsep pandu lalu di Pasar Segar Terkawal [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan mewujudkan tiga Pasar Segar Terkawal (PST) di negeri ini bermula semalam hingga 14 Jun ini.

Pengarah FAMA negeri, Asmizal Jaafar berkata, program itu bagi memenuhi keperluan dan memudahkan rakyat mendapatkan bahan makanan diperlukan berikutan penutupan sektor ekonomi dan sosial tertentu ketika Sekatan Pergerakan Penuh.

Katanya, tiga PST itu ialah di Pusat Operasi FAMA Seremban di Jalan Labu yang beroperasi pada setiap Selasa dan Jumaat serta Pasar Tani Kekal Paroi di sini, pada setiap hari Rabu dan Sabtu.

"Selain itu, Pasar Tani Kekal Jempol, Bandar Seri Jempol beroperasi pada Selasa dan Jumaat dengan semua pasar tani itu bermula dari 7.30 pagi hingga 12 tengahari.

"Konsep operasi PST kali ini dibuat secara pandu lalu di Pusat Operasi FAMA Seremban dan Paroi manakala di Jempol secara laluan masuk.

"Tujuh komoditi ditawarkan di PST iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan/hasil laut, daging, barangan runcit dan barangan asas tani," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Asmizal berkata, PST diwujudkan dengan matlamat untuk memberi akses pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan dengan penawaran penjimatan antara lima hingga 20 peratus.

Beliau berkata, inisiatif itu juga sebagai ruang pasaran kepada usahawan untuk memasarkan produk masing-masing.

"PST beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan penjarakan gerai antara peniaga sejauh tiga meter.

"Selain itu pintu masuk dan keluar dikawal selia oleh pihak berkuasa serta menghadkan bilangan kemasukan di kawasan PST pada satu-satu masa," katanya.

Menurutnya, FAMA turut menawarkan pembelian secara dalam talian di mana pra-pesanan boleh dibuat sebelum pengoperasian PST dengan menghubungi peniaga terbabit.

Disiarkan pada: June 2, 2021 @ 5:26pm
d