Sukan Lain

Ashleigh tarik diri akibat kecederaan

Oleh AFP

Paris: Pilihan utama, Ashleigh Barty menarik diri di pertengahan set kedua pusingan kedua Terbuka Perancis ketika menentang wakil Poland, Magda Linette selepas mengalami kecederaan.

Pemain Australia itu yang meraih kejuaraan ketika kali terakhir berkunjung ke Roland Garros pada 2019, meninggalkan gelanggang untuk mendapat rawatan selepas tumpas 1-6 di set pertama.

Dia bergelut dengan kecederaan pinggul selepas menang pusingan pertama dan terpaksa membuat keputusan menarik diri ketika terikat 2-2 di set kedua di Court Philippe Chatrier.

Ashleigh juga terpaksa menarik diri akibat kecederaan pada suku akhir Terbuka Itali menentang Coco Gauff bulan lalu.

Penarikan diri pemain berusia 25 tahun itu bermakna kejohanan berkenaan tanpa tiga pemain ranking teratas.

Pemain nombor dua dunia, Naomi Osaka mengejutkan arena sukan selepas menarik diri kerana mahu meneruskan agenda memboikot media.

Pemain ketiga dunia, Simona Halep yang juga juara Terbuka Perancis 2018, menarik diri sebelum kejohanan akibat kecederaan.

Disiarkan pada: June 3, 2021 @ 9:29pm
d