mutakhir

Kejayaan kelima patah cubaan seludup ketum

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 450 kilogram melalui jalan laut gagal apabila berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di pesisir pantai Kuala Sanglang, di sini, hari ini.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan itu dilakukan pada 6.15 pagi apabila menemukan sebuah bot yang ditambat tanpa muatan.

Menurutnya, pasukan rondaan kemudian melakukan tinjauan di sekitar kawasan itu untuk menjejak suspek dan daun ketum.

"Hasil tinjauan di kawasan pesisir pantai menemui 45 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum diletakkan di tepi pesisir pantai.

"Kesemua bungkusan disyaki daun ketum seberat 450 kilogram dianggarkan bernilai RM81,000 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini.

Noor Azreyanti berkata, pihaknya percaya daun ketum itu hanya menunggu masa untuk diseludup keluar ke negara jiran, Thailand.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, ia adalah rampasan daun ketum kelima bagi Zon Maritim Kuala Kedah pada tahun ini.

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 4:43pm
d