mutakhir

Petani, penternak boleh guna surat pengesahan MAFI

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Warga pertanian seperti petani dan penternak di negeri ini boleh terus menggunakan surat pengesahan pergerakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dikeluarkan sebelum ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) antara kementerian yang dikecualikan daripada mengguna pakai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sekali gus surat pengesahan daripada MAFI yang dikeluarkan boleh diguna pakai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, warga pertanian yang tidak mempunyai surat pengesahan pergerakan boleh mengajukan permohonan di pejabat berkaitan segera.

"Mereka boleh memohon di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Warga pertanian juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselaman Negeri (MKN) yang dikeluarkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 itu," katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya melalui Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sedang giat mengumpul data bagi penyaluran bantuan kepada petani cili yang terjejas sepanjang PKP berkuat kuasa.

"Kami sudah membuat pemerhatian di kebun cili yang diusahakan secara tanaman berkelompok.

"Mereka didapati terjejas teruk berikutan cili yang dihasilkan tidak terjual seterusnya mengalami kerugian dan kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan keseluruhan sebanyak RM300,000 bagi memastikan petani mampu bangkit semula," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 5:39pm
d