mutakhir

Bayar RM50 dapat servis

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Lima warga asing yang disyaki terbabit aktiviti pelacuran ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi operasi Noda di Klang Utara di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara membuat serbuan pertama di sebuah premis di Jalan Meru Batu 5, pada 21 Mei lalu.

"Dalam serbuan itu, seorang wanita dan dua lelaki warganegara Bangladesh berumur 30-an ditahan.

"Polis turut merampas beberapa plastik berisi kondom, tisu, minyak pelincir dan wang tunai.

"Modus operandi aktiviti pelacuran ini adalah mencari pelanggan sendiri dan menjemput mereka ke rumahnya dengan mengenakan bayaran sebanyak RM50 sekali servis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nurulhuda berkata, aktiviti pelacuran itu disyaki beroperasi kira-kira tiga bulan lalu dengan mensasarkan pelanggan warga asing di kawasan sekitar.

Menurutnya, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah kedai Jalan Pekan Baru 36 di sini, pada 6.30 petang, 5 Jun lalu

"Kita menahan dua wanita warganegara Vietnam masing-masing berusia 19 dan 20 tahun, serta merampas beberapa plastik berisi kondom, tisu, minyak pelincir, buku catitan dan wang tunai.

"Modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah menggunakan aplikasi WeChat serta beroperasi kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.

"Anggaran bayaran yang ditawarkan untuk sekali servis adalah RM150," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988. dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1956.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan dalam serbuan pertama dituduh pada 3 Jun mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen diri dan tinggal lebih masa.

"Bagi kes kedua, suspek direman 14 hari bermula 6 sehingga 19 Jun depan.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 4:24pm
d