mutakhir

'Pomen' perempuan dapat 5A

Oleh Lizam Ridzuan

Sekinchan: Tangan kotor dan berminyak kerana sering membantu bapa di bengkel membaiki motosikal tidak menghalang Noorhanisah Bazlaa Mohamad Arif, mencipta keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) semalam, dengan memperoleh 5A.

Kisah Noorhanisah Bazlaa, 18, dan empat beradik perempuan yang lain pernah dipaparkan di Harian Metro sebelum ini yang mahir membaiki dan menyelenggara motosikal berkuasa tinggi di bengkel bapa mereka, Arif Garage di sini.

Noorhanisah Bazlaa yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan, Bukit Kuda, Klang berkata, rutin membantu bapa di bengkel tidak mengganggu pelajarannya.

"Saya belajar pada waktu malam dan pagi iaitu selepas solat Subuh sebelum ke sekolah. Saya juga mengulangkaji pelajaran selepas sesi persekolahan sebelum ke bengkel.

"Saya banyak merujuk kepada guru serta rakan. Ia bagi membolehkan saya lebih memahami sesuatu mata pelajaran," katanya.

Tambah Noorhanisah Bazlaa, selain cabaran belajar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia juga banyak melakukan ulangkaji sendiri.

Cabaran paling utama ialah ketika menjelang peperiksaan SPM yang mana dia perlu lebih fokus dan mengharapkan nota-nota yang dikongsi dalam aplikasi WhatApp sekolahnya untuknya jadikan sandaran.

"Sejurus selesai peperiksaan, saya berdoa dan bertawakal supaya lulus semua mata pelajaran.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan ini. Ia hasil doa keluarga, guru, rakan selain usaha keras," katanya.

Noorhanisah Bazlaa merancang untuk menyambung pengajian demi mengejar cita-cita menjadi guru mata pelajaran matematik.

"Apabila berjaya, saya juga mahu membantu kembangkan perniagaan bapa dengan menyediakan peralatan bengkel lebih lengkap selain mendapatkan lokasi lebih strategik," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2021 @ 10:22am
d