mutakhir

Premis haram diarah tutup elak pencemaran Sungai Kim Kim

Oleh Omar Ahmad.

Pasir Gudang: Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengelak tumpahan sisa bahan 'glycerine' mencemari Sungai Kim-Kim di sini.

Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam kenyataan media memaklumkan serbuan dilakukan secara bersepadu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Gudang, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Menurutnya, serbuan susulan aduan orang awam berkenaan tumpahan bahan kimia yang memasuki longkang awam di Taman Kota Masai.

"Siasatan mendapati pencemaran berpunca daripada tumpahan sisa bahan glycerine daripada beberapa buah tong yang dikumpulkan di luar premis haram berkenaan.

"Sisa bahan glycerine adalah sisa yang terhasil daripada proses penyulingan bahan berasaskan minyak sawit," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemukan 796 tong mengandungi sisa bahan glycerine yang diletakkan di merata tempat tanpa kawasan penstoran khas.

Premis haram itu membeli sisa bahan berkenaan daripada sebuah kilang berasaskan oleokimia di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

"Tindakan pantas JAS Johor dan semua pihak berkuasa yang berkaitan berjaya mengelakkan mengelakkan tumpahan sisa bahan itu terus mengalir melalui longkang dan akhirnya ke Sungai Kim-Kim," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, pihak JAS Johor mengeluarkan dua kompaun di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Turut dikeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 untuk pihak kilang mengambil tindakan pembetulan dan langkah-langkah kawalan sewajarnya.

"Manakala pihak MBPG mengeluarkan notis menghentikan dan tidak menjalankan perniagaan ke atas premis tersebut.

"Kompaun juga dikenakan di bawah Seksyen 70 (a) Akta Kerajaan Tempatan 1975 kerana premis telah beroperasi tanpa lesen perniagaan," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2021 @ 6:19pm
d