mutakhir

Tahan 20 individu terbabit sindiket tipu kerja guna e-dagang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja menggunakan platform e-dagang, susulan penahanan 20 individu dalam tiga serbuan berasingan pada Isnin lalu.

Serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di tiga premis di sekitar ibu kota.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, dalam serbuan 5 petang itu seramai 20 individu termasuk empat wanita ditahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki tempatan, seorang lelaki warga China, tiga wanita tempatan dan seorang wanita warga China.

"Polis turut merampas 19 komputer riba dan 147 telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi memperdaya mangsa melalui iklan tawaran kerja sebelum mangsa diminta membeli barangan di platform e-dagang.

Menurutnya, sindiket menyebarkan mesej tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp dan mangsa yang berminat dijanjikan komisen bagi setiap barangan dibeli.

"Mangsa kemudian diminta mengisi butiran peribadi dan seterusnya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp untuk pembelian barangan.

"Pada fasa terakhir, mangsa akan terima mesej daripada ahli sindiket bersama pautan e-dagang dan nombor akaun. Mangsa diminta membuat transaksi ke akaun berkenaan," katanya.

Katanya, sindiket itu gagal dihubungi selepas transaksi dilakukan menyebabkan mangsa kerugian wang pembelian barangan yang sehingga kini direkod RM394,064 menerusi 33 kertas siasatan yang dibuka.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan direman lima hari sehingga 19 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan data peribadi kepada individu tidak dikenali, jangan mudah terpengaruh dengan tawaran kerja dengan gaji yang tinggi, menyemak latar belakang syarikat dan membuat semakan nombor akaun di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum membuat sebarang transaksi.

Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 9:16pm
d