Bola Sepak

Tindakan alih botol minuman cara bintang sukan suarakan pendapat

Oleh AFP

Paris: Apabila Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba mengalih botol Coca-Cola dan Heineken ketika sidang media di Euro 2020, ia membuktikan bintang sukan menolak produk yang tidak mewakili nilai peribadi mereka, kata penganalisis sukan.

Ronaldo dianggarkan memiliki 500 juta pengikut di media sosial dan apabila dia bersuara, sudah pasti ada kesannya.

Kapten Portugal berusia 36 tahun itu adalah pencinta fanatik kecergasan dan menyuarakan pendapatnya ketika mengalih botol Coca-Cola yang diletakkan di depannya ketika sidang media menjelang perlawanan dengan Hungary, Isnin lalu.

Dia mengalih botol itu daripada pandangan kamera dan berkata dalam bahasa Portugal: "Agua!", iaitu menggalakkan orang ramai memilih sesuatu yang asli.

Ronaldo kemudian menjaringkan dua gol ketika mereka menang 3-0 ke atas Hungary untuk muncul penjaring terbanyak dalam sejarah Kejuaraan Eropah.

Keesokannya, pemain tengah Perancis, Paul Pogba, yang beragama Islam dan tidak minum arak, membuat tindakan sama apabila mengalihkan botol Heineken ketika sidang medianya.

"Kita berada pada era baharu apabila atlet mula menyuarakan pendapat mereka. Mereka kini berhak bersuara dan bertindak dengan cara yang konsisten dengan apa difikirkan, dirasakan dan nilai mereka," kata Professor Simon Chadwick yang juga Pengarah Pusat Industri Sukan Eurasian di Emlyon Business School di Preancis.

Sebelum ini, Ronaldo kelihatan gembira mempromosi minuman kurang gula termasuk Coca-Cola di China pada pertengahan tahun 2000 dan kemudian bekerjasama dengan Pepsi.

Tetapi Chadwick berkata, bintang Portugis itu menyatakan kepada umum: "Sebagai seorang individu, saya ada hak untuk berubah daripada apa yang dilakukan pada masa lampau.

"Saya berhak menukar pendapat, nilai saya dan menghalang produk yang tidak konsisten dengan saya atau apa yang saya cuba sampaikan."

Disiarkan pada: June 18, 2021 @ 8:18pm
d