Permotoran

Permulaan baik buat Hakim Danish - Ramli

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Saya jangkakan jika Hakim Danish tidak terjatuh ketika ujian untuk menentukan petak perlumbaan, mungkin dia mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik," kata bapa pelumba muda negara dalam sukan permotoran itu, Ramli Ibrahim, 53.

Bagaimanapun, mekanik berasal dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu tetap bersyukur apabila anak kedua daripada empat adik-beradik itu dapat menamatkan perlumbaan sebenar di tempat ke-19 daripada 38 pelumba dalam saingan CEV European Talent Cup (ETC) di Litar Catalunya, Sepanyol minggu lalu.

Pelumba berbakat berusia 14 tahun itu yang beraksi cemerlang pada saingan Asia Talent Cup (ATC) di Qatar sebelum ini selepas tiga kali berjaya menaiki podium menamatkan perlumbaan itu dengan catatan masa 28 minit 41.672 saat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor, Kuala Terengganu itu yang mewakili pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team sebelum itu mensasarkan sekurang-kurangnya sepuluh pelumba terbaik memandangkan kali pertama beraksi di litar berkenaan.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada anak saya itu memandangkan kali pertama beraksi dalam saingan dan litar itu, tapi apabila dia berjaya berada di kedudukan ke-19, pencapaian itu begitu membanggakan kami sebagai anak kampung lebih-lebih lagi julung kali dia berlumba di sana selain dapat mencabar pelumba handalan dunia dari Eropah.

"Lagipun dia bermula di petak ke-31 daripada keseluruhan pelumba selepas terjatuh ketika ujian untuk menentukan petak perlumbaan dan hanya sempat menghabiskan Iima pusingan sahaja dalam ujian itu.

"Namun sebagai bapa saya bersyukur kerana Hakim yang menjadikan pelumba Itali, Velentino Rossi sebagai idolanya tidak mengalami kecederaan cuma motosikal, topi keledar dan pakaian sahaja yang rosak teruk," katanya kepada Sukan NSTP ketika dihubungi.

Selepas ini Hakim bakal beraksi di litar Algarve, Portugal yang dijangka berlangsung pada 4 Julai dan kemudian di litar Aragon, Sepanyol pada 25 Julai.

"Ada dua lagi peluang buat Hakim untuk memburu kedudukan lebih baik dalam sukan permotoran itu, saya doakan dia mampu melakukan aksi terbaik, konsisten dan fokus, lagipun dia maklum mahu berada sekurang-kurangnya di kelompok sepuluh terbaik dalam perlumbaan itu nanti," kata Ramli yang juga bertindak sebagai jurulatih anaknya itu sebelum ini.

Disiarkan pada: June 19, 2021 @ 6:09pm
d