London: Juara heavyweight Anthony Joshua sedia bertarung dengan pencabar seterusnya, bintang Manchester United, Jesse Lingard.
Bagaimanapun, AJ tidak mahu pertarungan itu berlangsung di gelanggang tinju sebaliknya kedua-duanya akan berentap menerusi permainan video Fifa.
Lingard, 28, yang pertama mendedahkan perlawanan itu di Twitter: "Jadi Anthony Joshua fikir dia adalah raja tinju dan Fifa!
"Baiklah, kita akan tunggu pertarungan itu hari ini. Ia sebahagian daripada festival e-sport Gamers Without Borders. Kita lihat siapa juara heavyweight sebenar."
Gamers Without Borders adalah pertandingan kebajikan yang bertujuan mengedarkan vaksin Covid-19 ke negara-negara membangun.
Beberapa selebriti bersetuju mengambil bahagian termasuk Joshua dan Lingard.
AJ bagaikan tidak percaya dengan ciapan Lingard di Twitter sambil membalas: "Anda tiada peluang Jesse Lingard [disusuli emoji ketawa]. Jumpa anda di sana."
Pencabar Joshua seterusnya di gelanggang tinju bagi mempertahankan gelaran WBA (Super), IBF, WBO, dan IBO berkemungkinan Oleksandr Usyk.