itmetro

Kerusi permainan lima bintang

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Segmen perkakas permainan semenangnya sentiasa menjadi perhatian malah menjadi ikutan sebahagian besar peminat atau pembina desktop.

Selain daripada komponen desktop yang menjadi perhatian, trend terkini pengguna pula lebih memberi perhatian kepada keselesaan ketika permainan terutamanya kerusi permainan atau 'gaming chair'.

Kerusi permainan ini juga mampu untuk mengelakkan tekanan di bahagian belakang badan terutamanya ketika duduk dalam tempoh yang lama di depan desktop sama ada untuk bermain permainan kegemaran atau melaksanakan tugasan rutin.

Untuk itu, kerusi permainan MAG CH130X keluaran MSI mampu memenuhi setiap keinginan pengguna terutamanya sokongan bahagian belakang yang baik.

Siri kerusi permainan MAG CH130X ini direka berasaskan kepada inspirasi kerusi perlumbaan yang mementingkan postur badan terutamanya sokongan tulang belakang.

Kerusi itu juga dibina menerusi bahan berkualiti untuk menyokong berat pengguna serta penggunakan yang lasak.

Rekaan di bahagian belakang adalah mengikut lengkungan tulang belakang untuk memastikan pengguna tidak menghadapi tekanan ketika duduk lama di depan komputer.

Berdasarkan rekaan kerusi permainan MAG CH130X itu, MSI bijak menampilkan rekaan yang elegan dengan jahitan premium termasuk logo 'naga' yang menjadi maskot kepada MSI.

Berat maksimum yang dicadangkan oleh MSI mampu menyokong sehingga 150 kilogram (kg) termasuk rekaan bahagian tempat duduk yang besar berkeluasan 52 sentimeter (cm).

Bahagian penyokong bawah kerusi ini juga menggunakan bentuk 'roda bintang' lima jejari termasuk pengiktirafan kelas 4 bahan hidraulik sokongan (gas lift piston).

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 9:35pm
d